Monday, June 25, 2012

Polis Kesal Himpunan Anti Lynas Tidak Ikut Peraturan



KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini kesal dengan tindakan penganjur Himpunan Anti-Lynas yang mengadakan perhimpunan aman di kawasan perindustrian Gebeng di sini kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk menggunakan kanak-kanak sebagai peserta.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata walaupun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku namun pihaknya kesal kerana perhimpunan itu dilakukan di kawasan yang tidak sesuai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer di kawasan berkenaan.

"Penganjur (Anti-Lynas) boleh buat bantahan, tetapi perlu guna cara yang betul. Macam yang kita lihat hari ini mereka telah melanggar beberapa peraturan iaitu mengadakan perhimpunan di jalan raya sehingga jalan di sini sesak.

"Mereka juga sepatutnya menghantar permohonan untuk mengadakan perhimpunan 10 hari sebelum ia dilaksanakan tetapi mereka hanya berbuat demikian dua hari sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu bersurai di sini hari ini.

Kira-kira 800 peserta termasuk beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis sosial berkumpul di simpang masuk utama kawasan perindustrian itu pada 11 pagi bagi menyatakan protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...