Friday, June 15, 2012

Pengenalan Mengenai Lynas


Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) adalah syarikat milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia. Syarikat ini mengeluar dan menjual nadir bumi dan produk berkaitan dengannya.

Lynas merancang untuk mengimport bahan mentah Nadir Bumi dari Mount Weld di Australia Barat dan diproses di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Lynas telah mendapat kelulusan Lesen Pengilang untuk menghasilkan “Nadir Bumi Oksida dan Karbonat” di kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan pada 22 Januari 2008 tertakluk kepada akta-akta berikut :
1)    Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984
2)    Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
Di Gebeng, kilang Lynas akan mengeluarkan Nadir Bumi untuk memenuhi permintaan pelanggan mereka. Mengikut Lynas, residu yang terhasil dari proses pengilangannya akan dikitar semula sebagai produk komersial.

Isu utama yang dibangkitkan adalah berkaitan residu yang terhasil dari aktiviti perkilangan. Lynas telah memberi jaminan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan untuk mengitar semula residu yang terhasil. Dalam waktu yang sama syarikat menyediakan pelan dan mengenalpasti lokasi bagi kemudahan  Pelupusan Tetap (PDF). 


Lynas juga telah mengemukakan kepada Kerajaan jaminan bertulis untuk membawa keluar dari Malaysia residu yang terhasil sekiranya mereka tidak berjaya mengenalpasti lokasi bagi PDF yang dicadangkan.



Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). AELB telah menetapkan standard keselamatan yang perlu dipatuhi oleh Lynas.

AELB juga turut memantau dan menilai kesan radiologi dari projek Lynas yang meliputi pembinaan, operasi, pengangkutan, pengurusan sisa, penamatan operasi dan pemulihan alam sekitar. 

Jabatan Alam Sekitar (DOE) adalah agensi penguatkuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Standard keselamatan yang dikuatkuasakan oleh dua agensi penguatkuasa tersebut adalah setanding malah lebih baik dari standard yang diterima-pakai antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...