Sunday, July 1, 2012

Kemukakan Bukti Saintifik, Bukan Dakwaan Politik


HUJUNG minggu lalu berlangsung dua perhimpunan berkaitan pembinaan kilang memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng yang kini menjadi perhatian umum di seluruh negara.

Perhimpunan pertama adalah anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mendukung Agenda Untuk Nasional (Daun) yang menyokong projek kilang kimia berkenaan berdasarkan lampu hijau yang diberikan agensi kerajaan dan juga pakar asing termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Perhimpunan kedua adalah Ahad lalu, dianjurkan kumpulan menentang projek berkenaan atas alasan ia mengancam keselamatan penduduk dan alam sekitar sedangkan ia tidak pernah dibuktikan secara saintifik.

Namun, wujud perbezaan ketara antara dua perhimpunan itu apabila program anjuran Daun dijalankan penuh santai disertai ribuan anak muda yang terpanggil bagi menyatakan sokongan mereka kepada pembinaan kilang Lynas.

Kebetulan ketika berada di Teluk Cempedak Sabtu lalu, saya berpeluang melihat sendiri bagaimana program berkenaan berlangsung dalam suasana positif dengan peserta begitu ceria melakukan aktiviti.

Antaranya senaman, persembahan kebudayaan yang diselang-seli dengan penyampaian maklumat berkenaan hakikat sebenar kilang Lynas yang disampaikan secara tidak formal.

Ini berbeza sama sekali dengan program anti-Lynas yang dapat dilihat bagaimana ia sarat dengan kempen membenci kerajaan dan momokan fakta yang bercanggah dengan kebenaran.

Walaupun kedua-duanya dianjurkan NGO, namun program anti-Lynas jelas terserlah motif politik apabila beberapa pemimpin pembangkang dilihat menjadi tonggak kepada program berkenaan.

Sebagai seorang rakyat dan penduduk di bandar Kuantan, memang tidak ada salahnya untuk sesiapa sahaja berasa bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarga terhadap sesuatu projek yang hendak dibawa masuk.

Namun, kebimbangan itu haruslah berlandaskan fakta saintifik dan dalam isu ini, pakar dalam atau luar negara mengesahkan bahawa operasi Lynas adalah selamat.

Sedangkan pihak yang menentang sebaliknya tidak pernah mengemukakan bukti secara saintifik kecuali dakwaan demi dakwaan yang akhirnya rakyat menjadi meluat kerana dibuat oleh ahli politik dan bukan ahli sains.

Malah ahli sains nuklear yang merupakan seorang pemimpin pembangkang di Selangor sendiri mengakui kadar radiasi operasi Lynas kelak adalah rendah dan ini berbeza sama sekali dengan gambaran yang cuba diberikan pihak tertentu bahawa Lynas adalah loji atau kilang nuklear.

Justeru, menerusi Rakan Pahang ini saya berharap pihak yang menentang projek Lynas supaya mengumpulkan bukti saintifik bagi menyanggah pandangan pakar IAEA dan agensi kerajaan lain kerana itu lebih baik daripada mengadakan siri perhimpunan yang akhirnya dijuarai ahli politik.

PENCINTA HIJAU, Kuantan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...