Thursday, July 19, 2012

DAUN Desak MP Dan Anti Lynas Mohon Maaf


KUANTAN - Gabungan Badan-badan bukan kerajaan Pahang Mendokong Agenda Nasional (DAUN) hari ini mendesak Anggota Parlimen Kuantan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh dan kumpulan anti Lynas supaya memohon maaf secara terbuka berhubung pelbagai dakwaan buruk terhadap syarikat berkenaan sebelum ini.

Menurut Penyelaras DAUN Wan Emril Nizam, permohonan maaf itu juga perlu dibuat secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk Kuantan berikutan tindakan mereka memberikan fakta salah dan melemparkan pelbagai dakwaan buruk berhubung pembinaan kilang itu.

"Tindakan Fuziah dan kumpulan anti Lynas selama ini ialah memburuk-burukkan kilang berkenaan serta mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat terutamanya penduduk Kuantan berhubung pembinaan kilang itu," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Semalam, Free Malaysia Today, di laman webnya, www.freemalaysiatoday.com, Mtoday News Sdn Bhd memohon maaf terhadap artikel-artikel yang diterbitkannya sebelum ini yang mendakwa kilang Lynas mungkin tidak selamat untuk orang ramai.

Lynas Corporation Limited, telah menerima publisiti buruk selama lebih setahun dari pelbagai pihak terutamanya parti pembangkang yang dilihat mempolitikkan isu pembinaan kilang itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...